Promosi

Promosi
SMBCN Konvoi Merdeka Ke Melaka


Gambar: Sebahagian ahli kelab SMBCN bergambar kenangan bersama Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail (tengah)

Pulau Pinang-

Pada 16 September yang lalu, Kelab SYM (Sanyang Motor) Malaysia Bikers Club New (SMBCN) telah mengambil langkah bijak ke arah memartabatkan kedaulatan kemerdekaan negara kita yang ke-54.

Ahli-ahli kelab SMBCN telah sebulat suara bersetuju untuk mengadakan konvoi bermula dari Pulau Pinang ke Melaka sambil melawati tempat-tempat bersejarah di samping mengibarkan Jalur gemilang di sepanjang perjalanan sejauh 1400 kilometer (KM).

Pelepasan peserta konvoi dari Pulau Pinang ke Melaka telah dirasmikan oleh Exco Wanita UMNO Malaysia, Ros Suriati di perkarangan stesen minyak Esso, dekat Juru. Turut sama hadir dalam majlis tersebut adalah Pengurus MForce Bike Holdings Sdn Bhd (SYM), Pallmon Neoh Kok Boon.


Gambar: Timbalan Pengerusi Kelab SMBCN, Omprakash (dua dari kiri) bergambar kenangan bersama motosikal miliknya SYM EVO250i.

Pengarah Projek, Subhan Yunus ketika ditemui berkata, lebih 100 buah motosikal jenama SYM telah terlibat dalam aktiviti konvoi selama tiga hari yang berakhir pada 18 September yang lalu.

“Semua ahli SMBCN dari negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Melaka dan Johor telah sepakat dan memberi kerjasama untuk menyumbangkan sokongan bagi menjayakan konvoi ke Bandar Bersejarah itu.

“Program yang dilaksanakan ini sebenarnya telah melebihi nilai sasaran sebenar iaitu 80 buah motosikal sahaja, tetapi jumlah penyertaan telah melebihi 100 buah motosikal. Ia secara tidak langsung telah membuatkan program ini berjaya mencapai sasaran utama.

“Penggunaan motosikal SYM jenis VTS200 dan EVO250i turut mendapat sokongan dan penyertaan dari kelab SYM Singapura.

“Kami juga amat berterima kasih kepada Syarikat MForce Bike Holdings Sdn Bhd (SYM) kerana telah memberi beberapa tajaan kepada Kelab SMBCN untuk menjayakan konvoi dari Pulau Pinang ke Melaka.


Gambar: Pengurus MForce Bike Holdings Sdn Bhd, Pallmon Neoh Kok Boon (kanan) beramah mesra bersama pemilik stesen minyak Esso dekat Juru, Pulau Pinang.

Tambahnya lagi, objektif utama konvoi ke Melaka adalah untuk menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan kepada Rumah Anak-anak Yatim Fatimah Al-Zahara, Bukit Katil.

“Ketibaan peserta-peserta konvoi ke Melaka juga telah diraikan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB. Datuk Seri Haji Mohd Ali Rustam di Madrasah Al-Rahman untuk bersama-sama menikmati makan malam.

“Majlis makan malam yang amat bermakna ini turut dihadiri oleh seluruh penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit katil, Melaka.

“Kami rasa amat bertuah kerana dapat bertemu dan beramah-mesra bersama Ketua Menteri Melaka dan penduduk negeri tersebut. Disamping itu, motosikal SYM yang dinaiki turut menjadi bahan pameran dan tarikan kepada semua tetamu yang hadir.” Katanya.


Gambar: Sebahagian ahli kelab SMBCN bersiap sedia untuk meneruskan perjalanan konvoi.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Kelab SMBCN, Omprakash ketika ditemui berkata, selain menyampaikan sumbangan kepada rumah anak-anak yatim, peserta-peserta konvoi juga menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-54 di Melaka sambil mengibar Jalu Gemilang di sepanjang perjalanan.

“Di dalam Kelab SMBCN terdapat bilangan ahli yang pelbagai kaum dan agama seperti Melayu, Cina dan India. Ia selaras dengan slogan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak iaitu 1 Malaysia. Majoritinya adalah 98% (peratus) berbangsa melayu.

“Kami telah berjaya mengambil masa hampir dua jam untuk mengelilingi kota bandar bersejarah tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Setelah selesai berkonvoi, semua peserta konvoi kembali berehat di Kem Permata Resort Melaka yang ditaja oleh pemilik Resort untuk penginapan selama tiga hari dua malam.”


Gambar: Ahli-ahli kelab SMBCN bergambar kenangan bersama Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob(tengah, berbaju biru).

Tambahnya lagi, pada hari berikutnya, peserta-peserta konvoi berpeluang lagi untuk beramah-mesra bersama Tuan Yang Terutama (TYT), Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob pada majlis rumah terbuka aidilfitri yang berlangsung disalah sebuah rumah di Melaka.

Setelah tiga hari berada di Melaka, pemilik Kem Permata Resort Melaka, Haji Yunus Itam merasmikan pelepasan peserta-peserta konvoi untuk bertolak pulang ke Pulau Mutiara. Ketika perjalanan pulang, semua peserta konvoi singgah sebentar di Kuala Lumpur untuk melawat Muzium Negara.

Katanya lagi, “pelbagai bahan sejarah turut dipamerkan di Muzium Negara antaranya adalah berkaitan sejarah Bukit Kepong yang semakin menjadi bahan sebutan orang ramai.

“Ia secara tidak langsung juga telah meningkatkan lagi semangat patriotik di kalangan ahli-ahli Kelab SMBCN untuk menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-54 bersama Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail yang hadir meraikan ketibaan peserta-peserta konvoi di Muzium Negara, Kuala Lumpur.

“Konvoi diteruskan dengan mengelilingi Dataran Merdeka selama 20 minit untuk memperkenalkan jenama motosikal SYM kepada orang ramai disamping mengibarkan bendera Malaysia di sepanjang perjalanan bertujun untuk menyemarakkan lagi semangat patriotik dikalangan ahli-ahli kelab untuk menyambut Hari Malaysia dan Hari Kemerdekaan yang ke-54.” Katanya.


Gambar: Gelagat sebahagian ahli kelab SMBCN bergambar kenangan di khazanah kapal karam di perkarangan Muzium Negara.

Sementara itu, seorang ahli baru Kelab SMBCN, Nazri Sabri ketika ditemui berkata, beliau amat berpuas hati dengan program yang telah dianjurkan oleh Kelab SMBCN.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya untuk berkonvoi dalam jarak yang jauh menggunakan motosikal SYM.

“Selain berkonvoi, peluang bertemu Ketua Menteri Melaka, TYT Melaka dan tetamu VIP juga merupakan satu kenangan yang amat bermakna bagi saya.

“Dari segi kepuasan penggunaan motosikal SYM pula memang amat terbukti penjimatan minyak yang digunakan. Hal ini kerana, jarak perjalanan sejauh 1400kilometer hanya menggunakan minyak petrol sebanyak RM110 sahaja.” Ujarnya.


Gambar: Ahli kelab SMBCN bersiap sedia sebelum meneruskan perjalanan.

Selain itu, Ketua Marshall Kelab SMBCN, ketika ditemui berkata, jarak perjalanan yang jauh semestinya akan memberikan keletihan kepada kita. Tetapi perasaan seronok yang dirasai telah mengaburinya.

“Kami tetap mematuhi peraturan-peraturan jalan raya sewaktu berkonvoi seperti menunggang 110km/j di jalan raya, berhenti di lampu isyarat merah, memandu dengan berhemah dan sebangainya.

“Ia secara tidak langsung juga dapat mendidik ahli-ahli kelab untuk mendisiplinkan diri ketika menunggang motosikal agar dapat mengelakkan berlakunya kejadian kemalangan di jalan raya.” Katanya.

3 ulasan

  1. bagaimana klu sy nak menyertai kelab ini

    BalasPadam
  2. saya tinggal dimelaka..

    BalasPadam
  3. Search facebook SYM Owner

    BalasPadam