Prestasi tidak konsisten Harimau Malaya semakin membimbangkan apabila diaibkan Selangor 1-0 pada satu perlawanan persahabatan, malam kelmarin.
Jaringan tunggal bekas penyerang negara, Mohd Rudie Ramli pada minit ke-64 menerusi rembatan kencang di luar kotak penalti menewaskan Sharbinee Allawee Ramli yang mengawal gawang sudah cukup untuk menconteng arang ke atas skuad Harimau Malaya.
Namun ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal tetap tenang dengan kekalahan itu dengan menyatakan ia adalah peluang kepadanya untuk mencuba beberapa pemain yang baru dipanggil apabila menampilkan kesebelasan berbeza pada setiap babak di Stadium Shah Alam itu.
“Kenapa saya perlu bimbang, saya tahu bila pemain akan bangkit. Kita bukannya mempamerkan persembahan yang teruk dalam kelayakan Piala Dunia 2014 (disingkirkan Singapura dengan agregat 6-4). Saya masih yakin dengan pasukan ini dan anda boleh lihat perbezaan dalam skuad malam ini (malam kelmarin) apabila pemain Olimpik tiada terutamanya dalam barisan pemain pertahanan.
“Perlawanan ini adalah peluang saya untuk mencuba pemain beraksi di bawah tekanan kerana pemain Selangor pastinya bermain mati-matian apabila menentang skuad negara selain dibarisi bekas pemain negara dan berkualiti. Kita kena terima keputusan ini dan melihat secara keseluruhannya,” katanya ketika ditemui pemberita pada aksi yang disaksikan kira-kira 4,000 penyokong itu.
Menurut jurulatih berusia 55 tahun itu, barisan pemain negara jelas keletihan selepas aksi menentang Singapura tempoh hari namun mereka tetap mempamerkan beberapa persembahan yang baik.
“Ia tidak berguna kerana tiada penyudah yang berkesan. Sebab itu pemain seperti Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha adalah antara pemain yang diperlukan dalam skuad negara. Saya akan lihat dalam saingan Piala Malaysia selepas ini dan memberikan peluang kepada mana-mana pemain yang menonjol,” katanya.
Beliau turut memuji persembahan Khyril Muhymeen Zambri dan Farizal Marlias manakala pertahanan berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah masih perlu diberi peluang. Selangor yang pernah menewaskan skuad negara pada 1980-an sebenarnya mempunyai beberapa peluang untuk menang dengan jumlah jaringan lebih besar terutama pada separuh masa pertama apabila Hardi Jaafar dan Fadzli Saari menggegar palang dan skuad Merah Kuning dilihat lebih banyak menguasai perlawanan.
Namun Harimau Malaya turut berpeluang meledak jaringan awal menerusi penyerang Pelita Jaya FC, Safee namun gagal menerjah jaring.
0 Komen :
Catat Ulasan