CRSM, IPD Kuala Muda Sertai Konvoi Motosikal



Sungai Petani-

Crisis Relief Squad of MCA (CRSM) bersama IPD Kuala Muda mengambil pendekatan berkonvoi motosikal kuasa tinggi untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkempen dalam mengurangkan kadar jenayah di Malaysia, khususnya di daerah Kuala Muda.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt. Ong Aik Chang, ketika ditemui berkata, konvoi bermotosikal yang diadakan CRSM bersama IPD Kuala Muda adalah bertujuan untuk mengurangkan kadar jenayah di daerah Kuala Muda.

“Mencegah jenayah adalah tanggungjawab bersama semua masyarkat bagi membantu PDRM mengurangkan kadar jenayah di Malaysia, khususnya di daerah Kuala Muda.

“Kelab motosikal kuasa tinggi bersama CRSM dan IPD Kuala Muda berkonvoi mengelilingi daerah Kuala Muda adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai tanggungjawab bersama dalam menangani gejala tidak baik dan jenayah.

“Konvoi ini adalah untuk mengedar risalah pencegahan jenayah yang mengandungi cara-cara untuk mengelak jenayah dan melaporkan kejadian jenayah yang berlaku.

“IPD Kuala Muda telah berjaya mengurangkan 8 peratus kadar jenayah di daerah Kuala Muda bagi tahun 2010 hingga 2011.

“Bagi bulan Julai, kita telah berjaya mengurangkan lagi 4 peratus kadar jenayah di Daerah Kuala Muda.” Katanya semasa ditemui di perkarangan pasaraya Village Mall, dekat Sungai Petani, sebelum merasmikan pelepasan peserta konvoi motosikal kuasa tinggi.

Sebanyak 100 buah motosikal kuasa tinggi telah terlibat dalam aktiviti konvoi bersama CRSM dan IPD Kuala Muda. Masing-masing adalah motosikal superbike, scrambler dan motosikal skuter kuasa tinggi SYM (Sanyang Motor).

Pengerusi kelab motosikal skuter kuasa tinggi SYM Fans Team (SFT), Ku Salim Ku Long, ketika ditemui berkata, kaedah yang digunakan ini merupakan cara yang paling menarik untuk menarik minat masyarakat bagi membantu PDRM mencegah jenayah.

“Berkonvoi bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dengan masyarkat malah dapat menyalurkan lebih banyak maklumat kepada orang ramai mengenai kaedah yang wajar digunakan untuk melapor setiap kali melihat kejadian jenayah.” Katanya.

Wakil jualan produk HPA, Khalis Yaakob berkata, program yang sedang dijalankan oleh IPD Kuala Muda adalah satu perkara yang bagus dan patut dibanggakan sebagai rakyat Malaysia.

“Penggunaan motosikal kuasa tinggi memang bagus bagi pasukan keselamatan semasa membuat rondaan di kawasan-kawasan tertentu kerana ia dapat mengejar penjenayah dengan pantas, sekaligus dapat mengurangkan kadar jenayah.

“PDRM juga harus menjalankan tugas dengan betul disamping menyalurkan maklumat kepada masyarakat mengenai cara-cara untuk melaporkan setiap kejadian jenayah yang berlaku.

“Masyarakat kadang-kadang takut untuk melaporkan kejadian jenayah yang sedang berlaku, oleh itu kempen berkonvoi mengedar risalah pencegahan jenayah adalah wajar dilaksanakan bagi menyedarkan masyarakat akan pentingnya melapor setiap kali melihat kejadian jenayah yang berlaku.

“Setiap mat rempit harus mencontohi aktiviti seperti ini sebab ia adalah sukan permotoran yang sihat untuk mengisi masa lapang. Sekiranya mat rempit contohi aktiviti seperti ini, ia secara tidak langsung juga dapat mengurangkan kadar jenayah di Malaysia.” Jelasnya.

Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan