Kelab Motor Bantu Mangsa HIV


TAIPING - Tiada siapa pun di dunia ini yang mahu dihinggapi penyakit merbahaya. Apa lagi jika telah disahkan oleh pakar perubatan, pelajar yang sepatutnya berada dibangku persekolahan tidak dapat berbuat demikian dalam usia baru mencecah belasan tahun.


Bagi Natasya Roslan, 13 dan adiknya Nasrul Al Hafiz Roslan, 11 telah disahkan menghidapi penyakit yang ditinggalkan oleh kedua-dua ibu dan bapanya yang telah meninggal dunia kerana disahkan menghidap penyakit HIV AIDS.
 

Ekoran itu selepas menduduki UPSR, Natasya tidak lagi meneruskan persekolahannya di mana-mana sekolah, kerana sering masuk wad dan penat. Manakala ubat perlu dimakan sebanyak 3 kali sehari tanpa cuai.


Adiknya Nasrul pula turut dijangkiti penyakit yang sama, namun begitu masih meneruskan pelajaran di salah sebuah sekolah agama di Kampung Jebong Kiri, Matang, Taiping, Perak.


Sehubungan itu, inisiatif telah diambil oleh Kelab Otai Sym Bikers (OSB), Kelab Jom Motor, Kelab Motor Elegant (NEC), Kelab Yamaha Motor (YMC) dan Kelab Toyota Avanza (TAVAC) Pulau Pinang dengan membuat amal kepada keluarga dua beradik yang masih tinggal bersama nenek mereka, Raziah Abd Ghafar, 63, baru-baru ini.


Dalam kunjungan mesra tersebut bantuan berupakan mengecat rumah,membina semula kamar mandi yang uzur,menukar bumbung yang bocor serta membekalkan beberapa peralatan elektrik telah disempurnakan secara beramai-ramai.

Menurut Pengarah Program, Dorohid Situ, program turun padang ini adalah bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan dalam mengharung kehidupan yang begitu perit apabila disahkan menghidap penyakit merbahaya dalam usia yang begitu muda.


"Mereka ini pula adalah anak yatim piatu yang hanya tinggal bersama seorang nenek tua tanpa ada pendapatan tetap. Berdasarkan kepada tinjauan yang dibuat, mereka ini perlu disokong dan dibantu.


"Ubat mesti dimakan sehingga berusia 17 tahun. Masih jauh masa mereka yang hanya mengharapkan seorang nenek tua tanpa pekerjaan. Mau atau tidak, atas kesedaran yang ada, kami bersepakat untuk membuat amal dan jariah ini secara kelompok bagi meringankan beban mereka." katanya.


Sementara itu, Roziah yang juga merupakan nenek kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut berkata, dalam usia yang sudah lanjut, tanpa ada pekerjaan tetap, adalah sukar bagi beliau menghadapi cabaran hidup yang semakin menyempit ini.


"Walau bagaimana pun kunjungan ini amat meringankan beban yang dihadapi apabila keuzuran yang ada di kediamannya telah dibantu secara gotong-royong.


"Yang menjadi masalah besar ialah masa depan kedua-dua cucu saya, yang sudah kehilangan ibu dan bapa, tidak dapat meneruskan pelajaran. Saya juga bingung dengan hayat dan masa depan mereka yang tidak menentu." katanya.


Menurut beliau lagi, bantuan sebanyak RM200 yang diterima dari Jabatan Kebajikan Masyarakat digunakan untuk membayar sewa rumah sebanyak RM100 sebulan. 

Manakala bakinya sebanyak RM100 lagi tidak mencukupi untuk membayar bil elektrik, air serta keperluan makan dan minum mereka bertiga.

Mereka boleh dihubungi melalui alamat Kampung Jebong Kiri, Batu 7 1/2, Jalan Kuala Sepetang, Matang,34570, Taiping, Perak atau nombor telefon 0147577508.
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan