Kuin: Lapor pada SPRM bermotif politik

ALOR SETAR, 7 Jan-

Tindakan Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Kedah, Badrol Hisham Hashim mendedahkan kandungan aduan yang dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melanggar Akta SPRM 2009.

Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya berkata demikian sebagai mengulas tindakan Badrol yang mendedahkan butir-butir aduan yang telah dilakukan terhadap dakwaan berlakunya penyelewengan dalam kontrak pembinaan kampus Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang melibatkan anak syarikat kepunyaan Kerajaan Negeri.

Dibawah akta tersebut menyatakan apa-apa butir, dokumen atau isu yang dikemukakan semasa aduan dibuat kepada pihak suruhanjaya tidak boleh didedahkan kepada umum melalui media.

"Ini adalah satu perkara serius, tindakan mendedahkan butiran yang dibuat itu sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti am dibawah Seksyen 69 akta yang sama. Hukuman denda sehingga RM10 ribu atau penjara tidak lebih dua tahun.

"Kebenaran yang belum tentu sahihnya itu boleh mencalarkan imej dan reputasi baik pihak yang dituduh. Tindakan mereka ini juga dilihat sebagai mempunyai motif tertentu sama ada untuk kepentingan individu atau politik BN," tegasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau mendesak supaya siasatan segera dilakukan oleh SPRM terhadap Badrol.

"Dewan Pemuda PAS akan sentiasa memberi dokongan kepada SPRM demi memastikan rakyat negeri ini bebas dari korup dan penyelewengan. Kita juga melihat perkara ini sebagai satu isu yang serius hasil tindakan Pemuda BN," tambahnya lagi.

Baru-baru ini Pemuda BN telah membuat laporan kepada SPRM Kedah berkaitan isu terbabit yang melibatkan anak syarikat Bina Darulaman Sdn Bhd iaitu Kedah Sato Sdn Bhd.

Sebelum ini Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam penyelewengan.

Malah katanya lagi, sepatutnya Pemuda BN membuktikan dakwaan mereka dengan kebenaran dan bukannya hanya sekadar laporan kepada SPRM.

"Laporan yang dibuat oleh Pemuda BN itu tidak menggentarkan. Sepatutnya setiap dakwaan mereka itu haruslah diiringi dengan bukti yang benar lagi sahih," tegasnya lagi.

harakahdaily-

Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan