100 Hari: Negeri Pakatan Tidak Bankrap
















GEORGETOWN, 12 Jan-


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, menyelar kenyataan tidak konsisten Datuk Seri Najib Tun Razak apabila mendakwa negara akan menjadi bankrap sekiranya Pakatan Rakyat (PR) melaksanakan Pelan 100 Hari sepertimana yang dinyatakan sebelum ini.

Dalam sidang media di sini semalam, Lim berkata, sejak pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin oleh PR belum ada antara negeri-negeri yang ditadbir telah jatuh bankrap sepertimana yang didakwa.

Menurut beliau lagi, apa yang dinyatakan oleh Najib itu tidak benar. Laporan Audit Negara telah menyatakan dengan fakta lagi benar, prestasi yang dibuktikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2008 dan 2009 adalah terbaik jika dibandingkan dengan negeri-negeri yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN).

"Dalam sejarah negeri ini, lebihan peruntukan yang besar ialah pada tahun 2008 di mana sebanyak RM88 juta dapat dijimatkan. Manakala pada tahun 2009 pula lebihan bajet adalah sebanyak RM77 juta.

"Hasil dari lebihan inilah kerajaan negeri telah berjaya membela nasib rakyat negeri Pulau Pinang melalui pelbagai program yang telah dilaksanakan. Antaranya ialah pembasmian kemiskinan tegar dikalangan rakyat yang mana majoritinya adalah masyarakat Melayu. Melalui program ini wang sebanyak RM500 sebulan diberikan kepada setiap keluarga.

"Sementara itu rebat air pula sebanyak RM100 bagi setiap keluarga yang berpendapatan sederhana rendah dan bawah pada tahun 2009 yang lalu. Oleh kerana itu rakyat jangan terpedaya dengan retorik politik BN yang cuba memberi perspektif negatif kepada Pelan 100 Hari PR tersebut," ujarnya lagi.

Beliau juga menambah, sebenarnya penyelewengan kewangan serta amalan rasuah dan korup yang menjadi amalan pimpinan BN selama 51 tahun memerintah negeri ini telah menyebabkan berlakunya ketirisan dalam pentadbiran negeri ini.

Namun begitu, dalam tempoh yang singkat pemerintahan PR selama hampir tiga tahun sudah berjaya membuktikan segala permasalahan dapat diatasi termasuklah meningkatkan pendapatan kerajaan negeri.

"Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri yang diterajui oleh PR mampu untuk meneruskan pemerintahan dengan memberi khidmat kepada rakyat bukan saja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat pusat," tegasnya lagi.

harakahdaily-

Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan