Gambar: Aksi pemain Real Madrid
Madrid-
Kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid menandatangani kontrak dengan pemain warga Argentina berusia tujuh tahun, menurut jurucakap kelab itu semalam.
Leonel Angel Coira yang tinggal di Sepanyol sejak tiga tahun lalu akan memulakan latihan dengan pasukan remaja pada 6 September, kata jurucakap Juan Tapiador.
Dalam satu temuramah dengan akhbar sukan harian Argentina, Ole minggu lalu, Leonel berharap untuk menyertai pasukan utama Real satu hari nanti biarpun idolanya, Lionel Messi beraksi bersama musuh tradisi kelab itu, Barcelona.
Bapanya, Miguel yang menjadi jurulatih pasukan di pinggir bandar Madrid memberitahu akhbar Sepanyol, ABC, Leonel menandatangani kontrak setahun yang boleh disambung namun tidak menerima sebarang gaji. Apabila berusia 16 tahun, dia boleh bermain dengan pasukan utama.
Dia berkata, anaknya memilih untuk menyertai Real selepas menerima tawaran daripada musuh setempat Atletico Madrid.
“Pencari bakat di Atletico melihatnya dan menghantar surat jemputan namun selepas menjalani ujian bersama kedua-dua pasukan itu, dia berasa lebih selesa di Real. Saya sangat yakin dengan kelab ini, saya tahu mereka akan menjaga anak saya dengan baik,” katanya. - AFP
0 Komen :
Catat Ulasan