Liyana Jasmay Miliki 50 Seluar Ketat


PENERBIT FILEM MENJELANG 2011

Menangkap perhatian selepas menjiwai watak gadis ketagihan dadah menerusi drama bersiri Castelle pada 2006, si kecil molek yang menjunjung nama Liyana Jasmay ini sampai ke garisan bintang besar apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-22.

Mudah dibahasakan Nana sebagai nama timangan, lagu Aku Tak Percaya Cinta dan Aku Jatuh Cinta menjadi tiket untuknya beraksi pentas nyanyian. Namun, Nana tidak banyak dibantu oleh vokalnya.

Selepas bertahun melebarkan bakat mengisi permintaan pembikin sinema, namanya banyak terpacul di layar bergenre seram atau hantu.

Antara filem-filem seram yang pernah dilakonkan olehnya adalah seperti filem Syaitan, Histeria, Maut, Niyang Rapik, Misteri Jalan Lama dan terbaru filem Khurafat yang bakal ditayangkan pada 13 Januari ini.

Bercakap tentang perancangan 2011 yang sedang menyusul selang lima hari lagi, Liyana turut merancang untuk mengembangkan sayap dalam bidang penerbitan.

“Saya mahu menjadi seorang penerbit filem. Pada peringkat awal saya merancang untuk menerbitkan drama untuk televisyen. Saya juga akan menerbitkan single terbaru tidak lama lagi,” katanya tanpa surut perancangan.

KHURAFAT

Tajuk filem seram terbaru saya bersama Syamsul Yusof. Istimewanya dalam filem berkenaan saya melakonkan watak Aisyah, wanita bertudung yang menjadi isteri kepada Johan, lakonan Syamsul sendiri.

HANTU

Saya tak pernah nampak hantu, dan kalau boleh saya memang tak nak jumpa sebab saya memang takut dengan hantu. Saya juga tidak pernah diganggu perkara aneh sepanjang terlibat dalam filem-filem seram. Perkara yang paling menyeramkan adalah apabila menyebut tentang hantu langsuir, ngeri sebab ia boleh terbang.

JIKA DIGELAR RATU FILEM SERAM

Saya terfikir juga tapi pelik juga kenapa pengarah filem gemar mengambil saya berlakon filem-filem seram ini. Tidak mengapa, mungkin pada pandangan mereka saya sesuai membawa watak dalam filem bergenre seram, tapi saya berani jamin, setakat ini, filem seram terbaik saya adalah Khurafat. Sentuhan Syamsul kali ini berlainan.

PELAKON TEATER

Selepas watak kecil dalam Natrah, saya jadi teruja dan bangga sebab dapat menerajui teater kanak-kanak, Siti Di Alam Fantasi arahan Aminah Raphor yang dipentaskan di Istana Budaya bermula Rabu lalu. Sudah lama saya mahu ke dunia teater. Pengalaman berteater sangat menyeronokkan kerana kali ini ia sebuah teater kanak-kanak yang begitu menghiburkan.

SAMBUNG BELAJAR

Tengok dulu macam mana keadaannya. Tapi selepas menamatkan pengajian peringkat diploma di Kolej Universiti Sunway, Petaling Jaya tahun depan, saya merancang mahu ke luar negara untuk menyambung pengajian atau mengikuti kursus jangka pendek dalam bidang seni persembahan dan media.

PENGGEMAR STOKIN DAN SELUAR KETAT (LEGGING)

Koleksi legging dan sarung kaki milik saya sangat banyak, rasanya mencecah lebih daripada 50 pasang, ada bermacam jenis dan warna tetapi warna yang paling banyak ialah hitam. Saya jatuh cinta dengan legging sejak dua atau tiga tahun lepas, rasanya lepas balik dari London. Di sana saya jumpa satu butik yang menjual bermacam-

macam jenis legging dan saya fikir itu satu fesyen yang hebat.

Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan