Suami Rayu Bantuan Pembedahan Isteri


PERLU KOS PEMBEDAHAN RM7000

15-10-10: 12p.m/TERKINI : Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam proses mencari sumber bantuan.


Mak Mandin –

Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Demikianlah yang dapat digambarkan kehidupan Abdullah Saad, 47, yang terpaksa bekerja keras bagi membantu isterinya Siti Asa Harun, 49, yang terlantar sakit sejak setahun lalu.

Ibu kepada empat orang anak yang berusia 17 hingga 6 tahun yang tinggal di Bagan Lallang dekat Mak Mandin, dahulunya mengusahakan kedai makan bersama suami mula diserang strok akibat tulang belakangnya terseliuh selepas terjatuh ketika bekerja.

Akibat keadaannya yang lemah itu, beliau terpaksa bergantung harap kepada ahli keluarga untuk menguruskan diri.

Abdullah Saad berkata, sejak isterinya terbaring kesakitan, pendapatan mereka sekeluarga terjejas teruk kerana kedai makan terpaksa ditutup disebabkan kegagalan isterinya menjadi tukang masak,

“Punca pendapatan kami selama ini hanya bergantung pada kedai makan sahaja. Bagi menampungnya, saya terpaksa mengambil upah menjual nasi lemak di Pasar Mak Mandin kerana pendapatan perlu dicari bagi menanggung kos perubatan, kos ulang alik membawa isteri ke Hospital, serta keperluan persekolahan anak-anak yang sedang belajar di sekolah asrama harian dekat Kedah.”

“Sejak isteri saya terbaring sakit, saya terpaksa memanggil ibu, Che Nah Othman,72, untuk menjaga Siti Asa dan anak-anak sewaktu saya keluar bekerja.”

“Isteri saya terpaksa menjalani pembedahan untuk membetulkan semula tulang belakangnya dengan kos sebanyak RM7000. Saya kini semakin tertekan kerana tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu.” Katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Siti Asa boleh berkunjung ke rumahnya di alamat 3010 Jalan Bagan Lallang, 13400 Mak Mandin, atau menghubungi beliau menerusi talian 017-4219439, atau menyalurkan terus sumbangan ke akuan Maybank bernombor 157112157764 atas nama Siti Asa Harun.

Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan