UMNO Gesa Kerajaan Mansuh Kutipan Tol



Shah Alam-

Umno Bahagian Shah Alam sekali lagi menggesa kerajaan persekutuan memansuhkan satu daripada dua tol di Batu 3 dan Sungai Rasau, di sini, yang membebankan pengguna lebuh raya berkenaan setiap hari.

Timbalan Umno Shah Alam, Zulkurnain Md Ruslan berkata, 200 ahli Umno sekali lagi mengadakan demonstrasi aman di Plaza Tol Sungai Rasau bagi mewakili suara seluruh warga Shah Alam, Klang dan penduduk sekitarnya.


Zulkurnain berkata, usaha itu lanjutan daripada demonstrasi sama yang diadakan pada awal tahun ini dan kenyataan media Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Mansor di Tampin, Negeri Sembilan pada pertengahan bulan lalu berkaitan pemansuhan tol dan pengurangan kadar bayaran.

“Shaziman dipetik berkata, kerajaan akan melakukan siasatan terperinci terhadap penilaian semula dengan wakil konsesi tol.


“Kami berharap tol di Sungai Rasau dan Batu 3 turut tersenarai dalam penilaian itu,” katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas melakukan demonstrasi aman di Plaza Tol Sungai Rasau, di sini, semalam.


Zulkurnain berkata, usaha mereka perlu dipandang serius kerajaan kerana ia secara tidak langsung membantu mengurangkan beban warga di sekitar sini.

“Jika kerajaan memansuhkan tol di satu daripada plaza berkenaan, ia meringankan beban penduduk yang berulang-alik setiap hari ke ibu kota mahupun ke Klang,” katanya.


Zulkurnain berkata, tambahan pula sempena ulang tahun Umno ke-66, mereka berharap usaha dan suara mereka didengari pihak berkaitan.

Sementara itu, ketika mengulas memorandum yang dihantar kepada kementerian pada Jun tahun lalu, Zulkurnain berkata, ia masih di peringkat perbincangan.


Awal tahun lalu, satu bantahan mengenai tol berkenaan sudah dilakukan di perkarangan Tol Batu 3 yang diketuai Ketua Umno bahagian, Datuk Ahmad Nawawi Md Zin.


Manakala pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemansuhan bayaran RM1 di Plaza Tol Batu 9 menghala Kuala Lumpur dan 90 sen di Plaza Tol Batu 11 menghala Kajang.


Hasil daripada pemansuhan tol itu ia memberikan penjimatan kepada 120,000 pengguna harian di laluan berkenaan.

Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan