Bayi 3 Bulan Mati Tersedak Susu

Padang Besar-

“Hanya bau badan pada kain lampin akan menjadi pengubat rindu saya kepada anak bongsu yang pergi buat selama-lamanya,” kata Ramlah Ibrahim, 28, apabila anaknya, Mohamad Nur Iffan Mohd Yussof, tiga bulan, maut dipercayai akibat tersedak susu, semalam.


Dalam kejadian jam 3 pagi itu, Mohamad Nur Iffan ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa dengan hidung berdarah selepas disusukan ibunya di rumah keluarganya di Kampung Seri Junjung.


Ramlah yang juga suri rumah berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu berbeza dengan abang dan kakaknya yang berusia sekitar dua hingga 12 tahun, kerana dilahirkan awal iaitu ketika kandungan berusia tujuh bulan sehingga terpaksa menerima rawatan di hospital.


Menurutnya, sebelum kejadian, dia sempat menyusukan bayinya di dalam bilik jam 12 tengah malam sambil berbaring di sisinya.


“Bagaimanapun selepas membiarkan Iffan lena dalam keadaan berbaring, saya turut terlelap sebelum dikejutkan anak sulung pada kira-kira jam 3 pagi yang menyatakan hidung adiknya berdarah.


“Saya kemudian memeriksa keadaan anak saya sebelum mendapati susu bercampur darah turut keluar dari hidungnya dan pada masa sama, arwah sudah tidak bernyawa lagi.

“Akibat terkejut dan bimbang, saya menghubungi suami, Mohd Yusoff Mohd Amin, 48, yang mempunyai urusan luar bagi memaklumkan kejadian berkenaan sebelum dia bergegas pulang untuk melihat apa yang berlaku,” katanya.


Menurutnya, sebaik suami tiba, dia terus memeriksa nadi anak bongsu mereka sebelum mendapati dia sudah tidak bernyawa lalu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk pengesahan dan membuat laporan polis.


Katanya, pemeriksaan doktor mendapati anak mereka mati akibat tercekik susu, namun masih perlu menunggu laporan penuh forensik.


“Sehingga kini, masih terngiang-ngiang hilai ketawa Iffan ketika memandikannya kira-kira jam 6 petang semalam (kelmarin) kerana sebelum ini dia tidak bersikap demikian disebabkan lebih banyak diam.


“Sebaliknya, malam tadi (kelmarin) dia juga kelihatan begitu ceria dan saya bersama suami sempat bermain-main dengannya tanpa menyangka ia bagai memberi petanda bahawa dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.


Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Bertangkup jam 11 pagi semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Deros, berkata kejadian disedari ibu bayi berkenaan apabila anaknya tidak bernafas selain terdapat pendarahan pada hidungnya.


Katanya, keluarganya kemudian membawa anak bongsu mereka ke HTF dan doktor mengesahkan bayi berkenaan meninggal dunia. “Saya difahamkan tiada unsur penderaan atau jenayah, sebaliknya kejadian disebabkan lemas akibat tersedak susu dan kes diklasifikasikan mati mengejut,” katanya.

Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan