Kepala Batas-
Keikhlasan hati untuk berkhidmat dalam pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) adalah satu perkara yang patut dicontohi oleh semua lapisan masyarakat.
Disamping menjalankan tugas mengekalkan keselamatan dan keamanan negara, RELA mengambil pendekatan untuk berkonvoi di dalam dan luar negara untuk menyalurkan bantuan kepada anak-anak yatim di rumah kebajikan.
Pengarah RELA Negeri Pulau Pinang, Kol. Romli Ibrahim, semasa menyampaikan taklimat ringkas berkata, pendekatan ahli Elite Rider Club (ERC) dibawah pasukan RELA untuk mengadakan konvoi sambil beramal adalah satu perkara baru yang patut dihargai dan dicontohi.
“Saya harap perjalan konvoi ke Kelantan dan Thailand selama tiga hari dua malam ini berjalan dengan lancar seperti yang telah dirancang.
“Syabas juga kepada ahli platun dari kelab motosikal Sanyang Motor (SYM) yang sudi menyertai pasukan RELA.
“Kita akan jadikan aktiviti seperti ini sebagai aktiviti tahunan untuk berinteraksi dengan masyarakat disamping membantu golongan yang memerlukan bantuan.“Ia juga secara tidak langsung dapat membantu memperkenalkan motosikal skuter SYM kepada masyarakat yang belum mengenalinya.
“Saya amat berharap aktiviti berkonvoi ini dapat meninggalkan kesan yang positif kepada masyarakat selain menjadikannya sebagai cabaran dan kenangan yang dapat dikongsi bersama.” Katanya semasa majlis pelepasan peserta konvoi di perkarangan Wisma Persekutuan dekat Kepala Batas.
Pengerusi Kelab ERC, Zamri Kassim, semasa ditemui berkata, tujuan berkonvoi ke Kelantan dan Thailand selama tiga hari adalah untuk menyalurkan bantuan kepada anak-anak yatim di rumah kebajikan disamping melawati tempat-tempat pelancongan.
“Konvoi kali ini hanya melibatkan 30 orang ahli kelab ERC dan pasukan RELA yang menggunakan motosikal skuter kuasa tinggi SYM VTS200 dan EVO250.
“Walaupun kelab ERC masih baru ditubuhkan pada awal tahun ini, ia tidak memberi halangan kepada kami untuk mengadakan konvoi sambil beramal.
“Perkara ini secara tidak langsung dapat menarik minat orang ramai untuk menyertai pasukan RELA dan membeli motosikal SYM yang ternyata berkualiti dan mesra alam.” Jelasnya.
0 Komen :
Catat Ulasan